ALHAMDULLILAH DAN SEGALA PUJI HANYA UNTUK NYA DAN SERIBU SALAWAT KEPADA KEKASIHNYA. Semuanya yang aku tulis adalah semua perkara lama yang mungkin sudah diketahui, mungkin yang belum diketahui, dan amat mungkin yang kita sudah lupa. Kita sebagai umat hanya mengumpulkan, memelihara yang lama, dan diwajah barukan untuk kesegaran diri dan jiwa yang berterusan untuk hari ini dan besok.

Semoga artikel-artikel yang sedikit ini mendapat rahmat dan memberi kebaikan kepada kita dan keturunan kita sebagai manusia. Yang baik semuanya datang dari-Nya. Semua yang buruk datang dari aku. Insya Allah. Selamat Datang.

Jumaat, 31 Julai 2009

RAHSIA NUTFAH..... EMBRIO LERR....

[Gambar Atas : Makhluk bernama Embrio ini berukuran 10mm panjang dan berusia dalam tempoh +/- 5 minggu. Gambar Bawah : Makhluk bernama Embrio yang berusia dalam tempoh +/- 6 minggu - PERIOD PERTAMA PENETAPAN TAKDIR DALAM NUTFAH ]
Sumber : Wikipedia]


Jika ingin tahu, ketika manusia itu dalam keadaan nutfah. Apakah itu nutfah? Dalam terminologi embriologi ialah 'embrio'. Iaitu peringkat keempat yang berlaku pada minggu kedua selepas persenyawaan antara sperma dan ovum.


Dalam tempoh sebelum 14 hari itu, peringkat pertama, persenyawaan sahaja antara benih ayah (sperma) dengan benih ibu (ovum), makhluk itu dikenali sebagai zigot. Zigot terbentuk dalam tempoh 20 jam. Peringkat kedua, selepas 20 jam zigot dikenali sebagai morula. Iaitu makhluk yang telah mempunyai kesepaduan benih yang padu.

Peringkat ketiga, morula akan dikenali sebagai makhluk blastocyst. Iaitu makhluk yang terawang-awang dalam rahim ibu sebelum melekat dalam dinding ibu. Dalam al-Quran surah Al-Mu'minuun : 24, segala makhluk yang dicatatkan dalam sains embriologi iaitu zigot, morula dan blastocyst tetap disebut dalam al-Quran sebagai ALAQAH iaitu segumpal darah.

Selepas dua minggu, blastocyst akan menetap pada rahim ibu yang dikenali sebagai embrio. Yang dikenali bagi tempoh minggu kedua sehingga minggu ke-9 oleh pakar embriologi dunia. Itulah NUTFAH bermula!!


Selepas minggu ke-9, embrio akan dikenali sebagai fetus oleh ahli embriologi dunia. Kemudian lahir dikenali sebagai makhluk bernama bayi. Walaupun pakar embriologi dunia menamakan sebagai fetus selepas minggu ke-9 sebagai fetus, tetapi dalam al-Quran ia tetap adalah NUTFAH sehingga ia lahir ke dunia. Back to the story....

Ketika manusia itu dikenali sebagai makhluk yang bernama nutfah atau dalam bahasa kita disebut sebagai janin. Menurut hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Hudzaifah bin Asyad, sabda Rasulullah SAW bermaksud ;
"Malaikat masuk ke dalam nutfah setelah ia berada dalam rahim selama empat puluh hari atau selama empat puluh hari atau selama empat puluh lima malam. Lalu malaikat tersebut berkata, "Wahai Tuhan, apakah ia celaka atau bahagia?". Lalu malaikat itu menuliskannya dan bertanya lagi, "Wahai Tuhan, apakah ia lelaki atau perempuan?". Lalu malaikat itu menuliskannya. Ia menulis amal, balasan, ajal serta rezekinya. Setelah itu, catitan itu dilipat tanpa ditambah atau kurang."

Para ulama menyatakan, penetapan takdir bagi manusia berlaku dalam dua peringkat iaitu dalam tempoh empat puluh hari yang pertama. Terdapat juga riwayat yang menyatakan, takdir ditetapkan sekali lagi dalam tempoh empat puluh hari yang ketiga. Kedua-dua hadis adalah sahih dan tidak diragui kebenarannya.

Para ulama menyatakan, takdir pertama dalam empat puluh hari yang pertama adalah takdir dalam proses penciptaan, dari tiada kepada ada. Manakala tempoh kedua, empat puluh hari yang ketiga iaitu pada minggu ke-12, embrio telah dikenali sebagai janin, takdir dicatitkan sekali lagi bagi tujuan penyempurnaan pembentukan jasad manusia dan peniupan roh.

Cuba ingat semula, kisah Nabi Adam as diciptakan, diambil saripati tanah oleh Izrail, kemudian dibasahkan menjadi seperti tanah liat, kemudian dibentuk menjadi jasad dan dibiarkan selama 40 tahun, kemudian baru ditiupkan roh.

Maka jauhilah penguguran janin dalam usia 3-4 bulan dan ke atas, kerana roh telah ditiupkan, takdir telah dicatitkan. Jangan jadi pembunuh. Jika ia dilahirkan janganlah dibuang merata-rata. Manakala ibu-ibu yang keguguran anak dalam tempoh mengandung, maka itu adalah takdir yang telah ditetapkan untuk janin itu. Jangan bersedih!!!.

Wanita amat beruntung, kerana malaikat mendiami dan beribadat dalam rahimnya ketika kehamilan bermula. Itu bermakna rahim ibu seperti ruangan masjid yang kecil kemudian membesar. Tetapi, lelaki di mana?? Senyum...

Jangan durhaka kepada ibu, kerana tiada ibu tiada kita. Ingat rahim ibu!!! Rahim ibu adalah dunia pertama kita!!!

Wallahu A'lam.

[Renungan : Sebagai manusia jangan lah sesekali menyatakan sesuatu kesusahan itu takdir, kerana itu seperti keluhan bunyinya. Manakala berbangga dengan kesenangan sebagai takdir, itu seperti kesombongan pula bunyinya. Jadilah manusia yang terus bersyukur, kerana Allah SWT amat sayang pada orang yang diam dari keluhan dan kesombongan. Yang penting terus berusaha dan berharap dengan diam. Kerana berharap dengan diam padaNya adalah doa yang diam, dan Dia datang dengan 'diam' juga.]

Sumber : Kitab At-Tibyan- Ibnu Qayyim Al-Jauziah

RAHSIA LABU..... PUMPKIN!


Jika ingin tahu, sayur labu merupakan sayur paling disukai oleh Rasulullah SAW. Diriwayatkan oleh Anas RA, ketika Rasulullah SAW dijemput untuk sebuah jamuan yang diadakan oleh seorang tukang jahit pada zamannya, Rasulullah SAW dihidangkan masakan daging bersama sayur labu.

Rasulullah SAW memakan habis labu-labu yang terdapat di dalam hidangan itu, berbanding daging. Melihat situasi itu, jika sesuatu yang amat disukai oleh Rasulullah SAW pasti mempunyai 1001 kebaikan. Sejak itu lah Anas RA mencintai sayur labu ini.

Malahan kita pula di nusantara, lauk labu adalah makanan rasmi hanya ketika kenduri arwah sahaja atau majlis-majlis agama. Bila ditanya kenapa perlu lauk labu? Jika orang itu berilmu, jawapannya amat meyakinkan. Tetapi paling tidak, jawapannya ikut 'sunnah nabi' itulah jawapan mudah dari kebanyakan kita. (Sebenarnya, kenduri arwah bukanlah satu sunah sebenarnya seperti yang kita amalkan).

Dari penemuan sains, dari Kitab Tarkib al-Ath'imah, menjelaskan labu mempunyai kadar air yang mencapai 94.9% yang mengandungi SEDIKIT gula dan serat. 100 gram labu pula hanya mengandungi 65 kalori sahaja. Maka sesiapa yang mengalami obesiti, labu paling sesuai untuk menjadi lauk anda kerana amat kurang sodium dan ubat paling sesuai bagi yang mengalami tekanan (hipertensi).

Rasanya kalau zaman sekarang yang penuh tekanan ini, labu lah paling sesuai kot!! Murah pun murah!!!.. boleh save bajet kita..... automatik kurang hidup yang tertekan. Tension!! Tension!! Tension!!..... senyum......

Bagi mereka yang tidak lawas atau pun sembelit, lauk labu merupakan ubat paling mujarab untuk pelawasan selain buah-buahan kerana ia termasuk makanan paling lembut dan paling cepat reaksinya. Ia mengandungi potasium yang tinggi untuk pelancaran bagi penyempurnaan 'hajat' yang terpendam.

Air labu juga besar manfaatnya bagi mereka yang demam, menghilangkan rasa haus dan menghentikan sakit kepala ketika diminum atau dibasuhkan ke muka. Labu juga mengandungi kalsium, magnesium, fosforus, besi, sulfat dan khlor.

Penemuan saintifik moden pada tahun 1985, labu mampu mencegah kanser!!!! Kajian ini dijalankan oleh National Institute for Cancer, Amerika Syarikat yang membuktikan labu melindungi penduduk New Jersey dari kanser. Maka tidak hairanlah ada hari labu dikalangan masyarakat kristian iaitu Haloween Day.

Itulah mukjizat Rasulullah SAW sebagai pakar botani , pakar kesihatan, dan pakar gastronomi . Mana mungkin seorang insan yang tidak tahu membaca boleh tahu 1001 rahsia tumbuh-tumbuhan jikalau bukan dari wahyu!!!

Paling sesuai untuk kita, 'biarlah si luncai dengan labu-labunya.'. Kasihan Si Luncai itu!!!

Sumber : Qabasat min Ath-Thibb an-Nabawi dari Mausu'ah Al-I'jaz Al-'Ilmi Fi Al-Quran Al-Karim As-Sunnah Al-Muthaharah - Yusuf Al-Haj Ahmad

NAZAR ABDUL MUTHALLIB - DATUK RASULULLAH SAW


Jika ingin tahu, sebelum Rasulullah SAW dilahirkan ke dunia ini. Peristiwa penyembelihan Nabi Ismail as dan Nabi Ibrahim as yang berlaku pada kurun ke-5 Masehi berulang semula. Tetapi kali ini berbeza iaitu ketabahan Abdul Muthallib iaitu datuk Rasulullah SAW untuk menunaikan nazarnya menyembelih Abdullah putera bongsunya.


Semua sedia maklum Abdullah adalah ayahanda Baginda Rasulullah SAW. Kisah ini terjadi, Abdul Muthallib merupakan ketua kabilah Quraisy yang bertanggungjawab terhadap kebajikan ibadat masyarakat jahiliah iaitu penyembahan berhala di Kaabah. Maka sebagai ketua kabilah itu, beliau perlu memastikan setiap umat yang datang beribadat korban di Kaabah perlu dijaga kebajikannya, khususnya bekalan air.

Setelah berkurun sehingga zaman Abdul Muthallib, telaga zam-zam yang terpancar dari kaki Nabi Ismail as, telah terkambus. Itu adalah petanda bagi Allah SWT yang tidak merestui ibadat masyarakat jahiliah pada ketika itu dirumahNya. Walaupun masyarakat Quraisy ketika itu dianggap beriman kepada Allah tetapi tidak mengesakannya. Mereka menggunakan berhala-berhala untuk menjadi perantara antara mereka dengan Allah. Ini lah yang dikatakan golongan musyrik.

Walau pun, atas nasab kemuliaan Abdul Muthallib, dia bermimpi dan tahu bahawa di antara dua berhala utama kaum Quraisy iaitu Isaf dan Na'ilah terdapat telaga air zam-zam yang telah terkambus lama. Sebenarnya sebagai ketua kabilah, Abdul Muthallib tiada masalah untuk menggali terus sahaja telaga zam-zam itu, namun desakan dan fahaman kolot masyarakat Quraisy kerana khuatir kedua-dua berhala itu marah jika dilakukan usaha itu.


Usaha Abdul Muthallib terhenti, pada ketika itu beliau hanya mempunyai seorang anak iaitu Harris, baginya tidak mampu untuk bersama dalam menentang kedegilan masyarakat Quraisy yang jahil dan fanatik dengan berhala-berhala sembahan mereka. Sedangkan usahanya adalah satu kebaikan untuk mendapatkan bekalan air bagi menampung jumlah penduduk dan umat yang akan datang berkorban pada tahun-tahun berikutnya yang bertambah.

Atas kecewa dengan kedegilan masyarakat Quraisy, terkeluarlah nazar dari hatinya. Jika ia diizinkan oleh Allah dikurniakan sepuluh anak lelaki, dia akan menyembelih salah seorang anaknya di hadapan Ka'abah sebagai korban dan pengakuan atas kurniaanya. Allah izinkan permintaan Abdul Muthallib, dikurniakan sepuluh orang anak lelaki, dan paling bongsu lahirlah Abdullah, iaitu ayahanda Baginda Rasulullah SAW. Lahirnya Abdullah, Abdul Muthallib memutuskan untuk menunaikan nazarnya demi Allah sebagai korban.

Sejarah penyembelihan Nabi Ismail as oleh Nabi Ibrahim as berulang kembali.

Sumber : Muhammad for The Global Village - Muhammad Al-Hasyimi Al-Hamidi



Rabu, 29 Julai 2009

KENAPA 365 HARI DAN 12 BULAN?


Jika ingin tahu, pernah kah kita bertanya dari mana kiraan dalam kalendar ini? Dari ahli sains... memang betul jawapannya. Kerana ahli sains telah membuktikannya dengan kiraan bumi berputar dalam orbitnya sendiri dan orbit mengelilingi matahari. Tetapi al-Quran telah menceritakan perkara ini dalam bentuk yang Maha Halus dan Maha Benar dan Maha Rahsia. Yusuf al-Haj Ahmad, menjelaskan kata 'hari' dalam al-Quran dalam bentuk singular dan plural sebanyak 365 kali. Manakala kata 'bulan' dalam al-Quran sebanyak 12 kali.

Asas inilah yang digunakan oleh saintis Islam membangunkan ilmu falak. Manakala saintis barat mengesahkan pusingan bumi mengelilingi matahari dan pusingan bulan mengelilingi bumi.
Banyak lagi rahsia-rahsia nombor ni.

Sebenarnya, ilmu falak dan kalendar telah dibangunkan lebih awal di dunia ini iaitu kira-kira 4,000 tahun dahulu oleh Nabi Idris as. Jika ada masa aku ceritakan lanjut perkara ini. Insya' Allah.

Renung-renungkan dalam-dalam dan fikir-fikirkan... bagaimana kalau hidup manusia tiada kalendar, pasti kita tidak tahu hari dan usia kita yang sebenarnya.


Sumber : Mausu'ah Al-I'jaz Al-'Ilmi Fi Al-Quran Al-Karim Wa As-Sunnah Al-Mutahharah - Yusuf Al-Hajj Ahmad.

SEKETIKA ADAM DITIUPKAN ROH


Jika ingin tahu, diriwayatkan oleh Ibnu Sa'id di dalam Thabaqat al-Kubra, seketika Allah SWT meniupkan roh ke atas jasad Adam as yang dibiarkan selama 40 tahun dalam bentuk tanah. Pertama sekali yang dilalui roh adalah bahagian penglihatan dan batang hidungnya, tiba-tiba Adam bersin. Allah memberi rahmat kepadanya. Allah SWT berfirman, "Semoga Tuhanmu melimpahkan rahmat kepadamu."

Allah SWT berfirman, "Wahai Adam! Pergilah kepada sekolompok itu. Berkatalah kepada mereka, lalu perhatikan apa mereka lakukan." Adam mendatangi mereka seraya mengucapkan salam. Mereka menjawab : "Wa'alaikassalam wa rahmatullahi wa bara kaatuh". Allah SWT berfirman : "Wahai Adam! Itulah ucapan selamat untuk mu dan anak cucumu."

Banyak riwayat meriwayatkan, seketika Adam as telah ditiupkan roh, banyak persaksian dilakukan oleh Adam as dengan Allah SWT. Ibnu Said meriwayatkan, Adam berkata : "Wahai Tuhanku! Siapakah anak cucuku?". Allah SWT berfirman : "Pilihlah di antara kedua tangan ku, wahai Adam!" (AMARAN : JANGAN SESEKALI MEMBAYANGKAN TANGAN ALLAH SWT SEPERTI TANGAN KITA).

Adam menjawab, "Aku memilih tangan-Mu sebelah kanan, wahai Tuhanku! (kedua tangan Tuhanku adalah kanan)". Allah SWT membuka tangannya. Tiba-tiba telapak tangan Allah terdapat anak cucu Adam. Antara mereka terdapat kamu lelaki, mereka memiliki lisan yang bersinar. Nabi Adam mengkagumi cahaya yang ada pada diri sesorang darinya. Adam bertanya : "Wahai Tuhan! Siapakah dia?". Allah SWT menjawab : "Dia anakmu, Daud!" Adam kembali bertanya : "Wahai Tuhan! Berapa lama Engkau memberi umur kepadanya?" . Allah SWT menjawab : "Aku memberinya umur selama 60 tahun". Adam berkata : "Wahai Tuhan! Sempurnakanlah usianya dengan mengambil usiaku, sehingga usianya mencapai 100 tahun".

Dalam riwayat lain, Ibnu Abu Hatim meriwayatkan dari Abu Hurairah, setelah anak cucu Adam berpaling kepada Adam, Allah SWT berfirman : "Wahai Adam ! Mereka itu anak cucumu?" Ternyata antara mereka terdapat orang-orang yang berpenyakit, kusta, sopak, buta dan berbagai jenis penyakit. Adam berkata, "Wahai Tuhan! Kenapa Engkau berbuat begitu kepada anak cucuku?" Allah SWT berfirman, "Agar mereka mensyukuri nikmat KU".

Dalam riwayat lain, Ibnu Abu Hatim dan Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abu Hurairah, seketika Allah SWT membuka kedua tanganNya. Adam bertanya. Allah SWT berfirman, "Mereka itu anak cucumu. Setiap orang dari mereka umurnya telah tercatat di antara kedua matanya." Antara mereka terdapat seseorang yang bersinar cemerlang. Umurnya cuma tercatat selama empat puluh tahun." Adam berkata : "Wahai Tuhan! Tambahlah umurnya." Allah SWT berkata "Batas umur itulah yang Aku tetapkan untuknya." Adam berkata : "Aku rela memberikan usiaku selama enam puluh tahun kepadanya." Allah menjawab : "Begitu juga kamu. Tinggallah di syurga."
Allah SWT memenuhi permintaannya.

Dalam riwayat Imam Ahmad, sabda Rasullah SAW, "Allah menciptakan Adam, dan ketika menciptakannya, Allah memukul bahu sebelah kanannya, maka keluarlah anak cucunya berkulit putih. Mereka seperti butiran-butiran mutiara. Allah memukul lagi bahu sebelah kirinya pula, maka keluarlah anak cucunya berkulit hitam, seperti abu dapur atau arang. Allah berfirman kepada orang-orang yang berada di sebelah kanannya : "Pergilah ke syurga. Aku tidak peduli.". Dikatakan pula kepada orang-orang yang berada di bahagian bahu sebelah kiri: "Pergilah ke neraka. Aku tidak peduli." Wallahu a'lam.

Sumber : Kitab Qishash al Anbiya Ibratun li Ulil Albab - Ibnu Kathir.


[Renungan : Ambil prihatin dengan umur kita..... yang wujud carilah wujud cemerlangnya mengikut upaya sendiri. Rahsia angka umur 40 tahun dan umur 60 tahun, bongkarlah dengan baik untuk diri sendiri. Setiap orang itu adalah mutiara hakikatnya, tiada yang menjadi arang melainkan mereka memilih untuk menjadi arang. Kerana kedua-duanya datang dari jasad yang sama iaitu Adam dan Pencipta Yang Satu. Tiada takdir orang itu dimasuki syurga dan orang itu neraka. Semua ada hak untuk syurga. Neraka adalah pilihan dirinya sendiri, bagi yang Islam roh sudah ada dalam diri anda.]

Isnin, 27 Julai 2009

KISAH LALAT DAN PEMBESAR


Menurut cerita, ramai manusia memandang rendah pada kewujudan lalat yang mengganggu ketenteraman hidup mereka, tetapi sebenarnya ciptaan lalat membawa peringatan yang besar kepada manusia dari Allah SWT.

Pada suatu hari, ketika sibuknya Khalifah Al-Mansur menyelesaikan kerja-kerjanya, terbang seekor lalat dan menghinggapi dimukanya. Dihalaunya lalat ini. Namun lalat makhluk yang tidak faham bahasa, maka terbang lagi dan terus mengganggu. Berulang kali Khalifah Al-Mansur menghalau seekor lalat ini. Sehingga hilang kesabarannya sehingga tersebut dalam hati, Khalifah Al-Mansur "Kalau macam ini, lalat betul-betul merosakkan dan tiada gunanya langsung."

Kemudian Al-Mansur bertanya kepada Jakfar Shadid, "Wahai Abu Abdullah ! Untuk apa Allah menciptakan lalat?"

Jakfar Shadiq menjawab, "Lalat diciptakan oleh Allah agar menunjukkan kehinaan kepada orang-orang yang sombong dan membanggakan diri." .Terdiam Khalifah Al-Mansur dengan jawapan itu.

Khalifah Al-Mansur sedar dengan dirinya, walaupun ia seorang pemimpin negara yang disanjung oleh rakyat jelata tetapi tiada maknanya di sisi Allah melalui utusan makhlukNya iaitu seekor lalat.

Renungkan jauh-jauh dan dalam-dalam kisah ini.... pastikan diri kita tidak dihinggapi lalat!! Jika lalat datang... pergilah 'mandi bersih-bersihkan diri'!!!!!

SEKETIKA ADAM DALAM JASAD TANAH


Jika ingin tahu, Imam Ahmad meriwayatkan, Allah SWT menciptakan Adam menggunakan tanganNYA secara langsung. (AMARAN: JANGAN SESEKALI MEMBAYANGKAN TANGAN ALLAH SEPERTI TANGAN MANUSIA, KERANA SEGALA ZAT ALLAH BERSIFAT MAJAZI).

Setelah kembalinya Izrail mengambil tanah dari bumi, dibasahi tanah itu sehingga menjadi kembali menjadi lumpur yang mengandungi berbagai warna putih, merah dan hitam serta dari enam lapis bumi. Adam diciptakan dan dibiarkan dalam jasad tanah (tanpa ditiupkan roh) selama 40 tahun yang dihitung sejak hari penciptaannya iaitu hari Jumaat. Ada ulama yang mengatakan dipenghujung hari Jumaat iaitu Maghrib. Wallahu a'lam.

Para malaikat, melalui jasad ini terkejut. Begitu juga iblis lagi terkejut dengan makhluk ciptaan ini.
Laknatnya iblis, dipukul jasad Adam ini berbunyi seperti tembikar. Penceritaan ini terkandung di dalam Surah ar-Rahman : 4, bermaksud "Dari tanah kering seperti tembikar".

Begitulah tubuh manusia yang berongga, iaitu masuk dari lubang mulut dan keluar ke lubang dubur.
Abu Hurairah meriwayatkan sabda Rasulullah SAW, bermaksud; "Allah menciptakan Adam dari tanah, kemudian dijadikan lumpur, lalu dibiarkan sehingga ketika telah berbentuk sebagai lumpur hitam yang berbau, maka Allah menciptakannya dan memberi bentuk kepadanya. Kemudian dibiarkan lagi (sehingga apabila menjadi sesuatu yang berbunyi seperti tembikar), iblis melewatinya. Iblis berkata : 'Benar-benar telah diciptakan suatu urusan yang besar.'"

Jika ingin tahu, ketinggian Adam as diriwayatkan setinggi 60 hasta (20 kaki, 609.6 cm) dan setiap anak cucunya akan mengalami penyusutan ketinggian. Malahan jika ada makhluk yang melebihi ketinggian ini, itu adalah syaitan dan jin.Wallahu a'lam.

Manakala ketampanan Adam as merupakan ketampanan yang teragung di dunia. Tiada lagi manusia paling tampan di dunia selepas Adam as. Malahan Rasulullah menjelaskan ketampanan Nabi Yusuf as hanya sebahagian ketampanan Nabi Adam as.Wallahu a'lam.

Penemuan ini terus menolak secara total Teori Darwin. Hanya orang jahil sahaja sanggup mengaku nenek-moyangnya dari beruk seperti yang didakwa oleh Darwin.Teori evolusi dalam Islam adalah berkaitan penyusutan kualiti, tetapi Islam ada teori Intellegent Design untuk melengkapi teori evolusi yang diputarkan oleh Darwin.

Sumber : Kitab Qishash al-Anbiya Ibratun li Ulil Albab - Ibnu Khatir

Ahad, 26 Julai 2009

SEKETIKA ADAM HENDAK DICIPTAKAN


Jika ingin tahu, diriwayatkan daripada al-Zuhri, seketika Allah SWT berfirman untuk menciptakan manusia iaitu Adam sebagai khalifah di muka bumi ini, Allah SWT telah memerintahkan Jibril untuk mengambil tanah di bumi pada ketika itu untuk dijadikan Adam.

Kemudian Jibril sebagai utusan untuk mengambil tanah, bumi memohon perlindungan daripada Allah. Maka Jibril melindunginya dan tidak mengambil tanah.

Kemudian Allah SWT memerintahkan Mikail untuk mengambil tanah di bumi. Bumi juga memohon perlindungan daripada Allah. Maka Mikail melindungi bumi dan tidak mengambil tanah.

Kemudian Allah SWT memerintahkan Izrail untuk mengambil tanah di bumi. Bumi memohon perlindungan daripada Allah, namun Izrail tidak memberi perlindungan kerana ketaatannya kepada perintah Allah melebehi perlindungan bumi. Lantas diambilnya setiap tanah dari enam lapisan bumi.

Sekembalinya Izrail membawa tanah dari enam lapisan bumi. Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Bukankah bumi meminta perlindungan daripada engkau?". Maka sembah Izrail, "Benar wahai Tuhanku." Allah SWT berfirman, "Tidakkah engkau kasihankan dia seperti mana dua sahabatmu mengasihaninya." Maka sembah Izrail, "Wahai Tuhanku aku lebih wajib taat kepadaMu daripada mengasihani bumi."

Allah SWT berfirman, "Pergilah engkau, engkaulah Malaikat Maut. Aku telah memberikan engkau kuasa untuk mengambil roh-roh mereka." Tiba-tiba menangislah Izrail, lalu Allah berfirman, "Mengapa engkau menangis?".

Sembah Izrail, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau hendak jadikan daripada tanah ini, makhluk-makhluk daripada kalangan nabi-nabi, orang-orang pilihan dan rasul-rasul. Sesungguhnya Engkau tidak menjadikan sesuatu kejadian yang lebih dibenci oleh mereka melainkan kematian. Maka apabila mereka tahu tentang diriku, tentulah mereka akan benci dan memaki aku."

Lalu Allah SWT berfirman, "Sesungguhnya Aku akan jadikan bagi kematian itu ada penyakit dan beberapa sebab dan kesakitan, sehingga jaranglah mereka itu teringat kepadamu apabila berlaku kematian itu."

Wallahu a'lam.

Sumber : Kasyful Ghummah - Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fatani

Renungan, begitulah akrabnya roh manusia dan Izrail. Izrail dikenali sebagai malaikat maut, walaupun malaikat maut dia juga pernah menangis untuk kita. Adakah kita pernah menangis untuk Izrail dan Pemilik Izrail?

KISAH BURUNG PIPIT DAN KHALIFAH


Menurut cerita, ada sahabat pernah bermimpi berjumpa Umar bin Khatab selepas beliau meninggal dunia. Diceritakan oleh sahabat ini tentang mimpinya berjumpa dengan Umar bin Khatab begini :


Sahabat : "Bagaimana Allah memperlakukan saudara?"

Umar : "Allah mengampuni aku dan membebaskan seksaanku."

Sahabat : "Apakah sebabnya? Adakah disebabkan sifat dermawanmu, adilmu atau pun zuhudmu? "

Umar : "Ketika para manusia meletakkan aku ke dalam kubur dan menimbuni aku, lalu pulang, tinggallah aku sendiri di dalam kubur. Datanglah dua malaikat masuk ke dalam kuburku. Akalku menjadi hilang dan anggota tubuhku menjadi gementar disebabkan dua malaikat itu. Kedua-duanya memegang tanganku dan mendudukkan aku bagi menyoalku. Kebetulan aku terdengar seruan hatif (suara tanpa rupa) : "Wahai dua malaikat, tinggalkanlah hamba Ku ini seorang! Tidak usah kamu soal dan tidak usah kamu takut-takutkan! Sebab aku kasih dan sayang padanya dan Aku bebaskan seksaan baginya kerana dia kasih dan sayang pada seekor burung pipit sewaktu di dunia. Oleh itu, di akhirat, Aku kasih padanya."

Mimpi ini seiring dengan peristiwa ketika Umar Khattab masih hidup. Ketika beliau berjalan-jalan di kota Madinah dan terlihat seorang kanak-kanak bermain dengan seekor burung pipit. Disebabkan kasih sayangnya Umar Khattab kepada anak dan burung itu, beliau berurusan untuk membeli burung pipit itu supaya kanak-kanak itu tidak menangis dan marah padanya. Selepas dibelinya burung pipit itu, Umar melepaskan burung itu. Wallahu a'lam.

Renungkan kisah dan mimpi ini.... fikirkan jauh-jauh dan dalam-dalam ye!!!

[Kisah ini tertulis di dalam kitab Al-Mawaizh Al-Ushfuriah - Syeikh Muhammad bin Abu Bakr al-Ushfuri]

SEBALIK 'AR-RAHMAN' DAN 'AR-RAHIM'



Jika ingin tahu, kalimah Ar-Rahman dan Ar-Rahim, membawa maksud Yang Maha Pengasih atau Maha Penyayang. Kedua-dua kalimah itu berasal daripada perkataan ar-rahmah. Menurut ahli bahasa Ibnu Faris, semua kata yang mengandungi huruf 'ra', 'ha' dan 'mim' membawa maksud 'lemah-lembut, kasih sayang dan kehalusan.' Cuba perhatikan nama anda dalam huruf jawi, adakah mengandungi huruf-huruf ini. Jika ada satu huruf sahaja, pasti anda seorang yang penyayang dan lemah-lembut. Cuba renungkan nama anda!!!.

Menurut Mahmud Sami, menyatakan Ar-Rahman membawa erti 'Zat yang menutup (merahsiakan dosa-dosa hambanya) di dunia ini', sedangkan Ar-Rahim membawa maksud 'Zat yang mengampuni dosa-dosa hambanya di akhirat'.

Menurut Abdullah bin Mubarak, Ar-Rahman membawa erti 'Allah memberi dia apabila dia diminta.' Manakala Ar-Rahim membawa erti 'Allah marah apabila hamba-hambanya tidak meminta.' Menurut Al-Suda, 'Ar- Rahman membawa erti melenyapkan kesulitan dan Ar-Rahim itu mengampuni dosa.


Jika kita renungkan, zat Ar-Rahman dan Ar-Rahim dari segi ertinya, adakah kita mampu untuk menjadi pelindung kepada keaiban orang lain? Mampukah kita menjadi seorang memaafkan kealpaan orang lain? Sedangkan Allah SWT amat melindungi keaiban manusia dan sentiasa memaafkan manusia. Melainkan jika manusia itu tidak mahu aibnya dilindungi, maka Allah SWT berhak untuk tidak melindungi keaibannya dikalangan manusia lain. Sebenarnya keaiban diri kita adalah tanggungjawab kita dan keaiban manusia lain juga tanggungjawab kita.

Zat Ar-Rahman dan Ar-Rahim tidak akan habis dan tidak pernah terbatas dari Allah SWT. Dalam memberikan sesuatu entiti daripada 'tiada kepada ada', iaitu 'keadaan tidak wujud' kepada 'keadaan wujud' cukup untuk mengukuhkan erti Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

Jika ingin tahu, Ar-Rahman dan Ar-Rahim sentiasa ada dalam diri kita tidak pernah kurang sesaat pun. Nafas terus diberi, darah terus mengalir, tenaga terus bergerak tanpa henti sesaatpun, walaupun kita tidur sehingga kita dibenarkan untuk 'tidur sementara'. Namun zat Ar-Rahman dan Ar-Rahim tidak juga henti ketika kita 'tidur sementara' sementara menunggu kita 'dikejutkan' semula.

Sebagai manusia, setiap di mana kita berada dihadapan mata atau pun dihijabkan dari mata kita, dari timur ke barat, zat ini tiada hentinya melainkan manusia itu sendiri yang memilih untuk syak wasangka dan fitnah sesama manusia, sudah cukup ia menghampiri untuk menjadi pendusta kepada Allah SWT dan agamanya.

Rasullah SAW bersabda, maksudnya, "Orang-orang yang bersifat kasih, mereka dikasihi oleh Tuhan Yang Maha Pengasih. Hendaklah kamu semua mengasihi makhluk yang ada di bumi, dengan itu makhluk di langit pasti mengasihi kamu."

Jika ingin tahu zat Ar-Rahman dan Ar-Rahim inilah yang membawa manifestasi silaturrahim sesama manusia. Dalam solat lima waktu juga terdapat zat ini yang ditertibkan dengan 'salam' , iaitu kita sudahi solat dengan menoleh ke kanan dan kiri dengan menyatakan lafaz bermaksud 'salam sejahtera dan rahmat Allah kepada kamu semua).
Umpama diri kita adalah hamba perantara di antara Allah SWT dengan makhluk lain untuk memberikan salam sejahtera dan rahmat kepada segala makhluk di kanan dan di kiri kita.

Setelah kita selesai mengabdikan segala tertib solat semata-mata untuk Allah SWT, Allah SWT menutup 'pertemuan' itu dengan mensyariatkan kita menyebarkan kasih sayangnya kepada makhluk yang lain. Tertib itu sudah cukup untuk mengukuhkan kalimah manusia itu adalah 'khalifah' dan makna 'silaturrahim'.


Tetapi kita dimana? Adakah kita memberi kepada manusia untuk diberi ganjaran yang setimpal dengan apa yang kita beri? Adakah kita memberi 'tersekat-sekat'? Kemudian ketika kita meminta daripada manusia lain, kemudian kita diberi, adakah kita akan mencela dan mengaibkan pemberian itu?

Jika kita memilih untuk mencantikkan diri kita supaya sentiasa sihat dan dihormati, pada yang sama sebarkanlah kasih sayang kepada semua, kerana itu mengukuhkan makna kecantikan itu. Lakukanlah sebanyak mana mengikut kemampuan diri kita. Hanya diri yang menentukan segalanya.


Rujukan : 99 Kecerdasan berasaskan Asmaul Husna - Sulaiman AlKumayi

RAHSIA NAFSU SYAHWAT


Jika ingin tahu, nafsu syahwat adalah anugerah Allah SWT kepada setiap manusia itu lelaki atau pun perempuan yang bertujuan untuk mengembang biakkan manusia. Dari syahwat juga manusia dapat berkasih sayang iaitu antara lelaki dan perempuan, bapa dan ibu kepada anak, dan anak kepada saudara-saudaranya.

Rahsia syahwat bermula dari nafsu panas di dalam badan setiap manusia. Suhu panas itu berkobar-kobar menjadi nafsu syahwat (hawa an'nafs). Ketika suhu panas berkobar, muncul suhu lembap dari seluruh badan.

Suhu lembap ini keluar dari belakang otak, ke urat belakang telinga hingga ke belakang. Kemudian keluar ke ginjal dan berkumpul di kantung mani setelah dimasak oleh gejolak syahwat sehingga menjadi padat, pekat dan berwarna putih. Allah menentukan saluran dan jalan keluar baginya.

Allah SWT telah menetapkan faktor-faktor yang bersifat dalaman dan luaran. Naluri dianugerahkan sebagai daya penarik antara lelaki dan perempuan untuk saling mencintai dan merindui sesama-sama, sehingga diputuskan takdirnya oleh Allah SWT. Allah SWT yang menentukan satu sebagai tempat menanam dan yang lain sebagai penabur benih. Allah SWT tetapkan kedua-duanya berbagai gerakan, agar nafsu syahwat dapat berkerja dengan kelembapan tubuh dan rasa panas untuk membentuk 'sesalinan manusia'.


Sumber : Kitab At-Tibyan - Ibnu Qayyim Al-Jauziah


Sabtu, 25 Julai 2009

BUMI DICIPTA ENAM MASA


(Geological Clock - menjelaskan masa / tempoh bumi diciptakan 6 masa dan peringkat)


Jika ingin tahu, bumi ini dicipta dalam enam masa. Al-Quran ada menjelaskan "bumi dicipta dalam enam masa" di dalam surah Al-A'raf : 54, surah Yunus : 3, surah As-Sajdah : 4, dan surah Qaf : 38.

Ilmuwan Islam telah menghujahkan ayat-ayat ini sejak kurun ke-10 lagi. Maksud 'enam masa' itu, ada yang berkata enam masa adalah enam hari kita, ada yang berkata 1 hari pada Allah adalah 1000 tahun, ada yang berkata 1 hari pada Allah adalah 50,000 tahun. Namun demikian, kalangan ulama berpendapat, perkara ini diserahkan kepada Allah swt, yang perlu dibincangkan apakah yang dimaksudkan "enam masa" itu?

Kajian saintifik menjelaskan bumi dicipta mengalami fasa selama 4.5 billion tahun, yang dibuktikan dengan enam peringkat, sebelum manusia pertama diturunkan di muka bumi ini. Ini hanya penemuan saintifik, dan paparan ini hanya lah 'copy and paste', hanya untuk renung-renungan jer.
Nak lagi lanjut cari dekat wikipedia, 'history of earth'.

KISAH TEBUAN , TENTERA DAN MAKAM SUNAN GIRI


(Makam Sunan Giri terletak di Kampung Giri, Daerah Kebomas, Wilayah Gresik, Jawa Timur.)
Jika ada masa, akan diceritakan siapakah hamba disisiNya sebagai Wali.Insyallah.

Menurut cerita, kejayaan Sunan Giri menyebarkan Islam di Tanah Jawa menimbulkan sakit hati kepada raja Kertabumi dari Majapahit yang beragama Hindu. Sebagai seorang hamba Allah yang wali yang mempunyai keramat, setiap usaha dengki khianat Raja Kertabumi gagal.

Sehinggalah Sunan Giri meninggal dunia, dengki Raja Kertabumi kepada Sunan Giri tidak pernah berakhir. Dia mengarahkan segala bala tenteranya memusnahkan perkampungannya, pondok peninggalan Sunan Giri dan membongkar kubur Sunan Giri.

Apabila bala tentera Raja Kertabumi memulakan usaha untuk membongkar kubur Sunan Giri. Pada masa yang sama ribuan tebuan menyerang bala tentera Raja Kertabumi. Maka berlakukan gegak gempita di atas kubur Sunan Giri dan lari lintang pukang menyelamatkan diri. Akhirnya kubur Sunan Giri selamat dari dibongkar dari bala tentera Raja Kertabumi. Wallahu a'lam.

RAHSIA 4 KEINDAHAN PADA WANITA


Jika ingin tahu, rahsia keindahan seorang wanita terletak pada :
a. Putih pada 4 tempat - warna kulit, mata (putih), muka, gigi hadapan.
b. Hitam pada 4 tempat - mata (mata hitam), rambut, bola mata, kedua alisnya.
c. Merah pada 4 tempat - lidah, bibir, kedua pipi, bahagian yang merah yang diselangi putih.
d. Bulat pada 4 tempat - wajah, kepala, mata kaki (buku lali), buah dada.
e. Panjang pada 4 tempat - ketinggian, leher, rambut, alis
f. Lebar pada 4 tempat - dahi, mata, wajah, dada
g. Kecil pada 4 tempat - buah dada, mulut, tapak tangan, kaki.
h. Keindahan pada 4 tempat - mulut, hidung, muka, kehormatan.

Allah SWT, berfirman maksudNya : "Yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya umurnya." (Al-Waaqi'ah : 37)

Ayat ini membawa manifestasi wanita yang dicintai oleh suaminya , selain dari fizikalnya, perlu ditambah lagi tiga iaitu akhlak, kelembutan dan senyumannya. Ibn 'Arabi berkata " Apa yang dimaksudkan wanita 'arub adalah wanita yang taat kepada suami dan menyenangkannya.". Abu Ubaidah berkata "Ia adalah yang baik kepada suaminya.". Sementara Al-Mubarrad berkata, "Ia adalah wanita yang baik kepada suaminya.".

Sumber : Kitab At-Tibyan - Ibnu Qayyim Al-Jauziah

RAHSIA QADA & QADAR

(Gambar hiasan)
Jika ingin tahu, setiap makhluk yang diciptakanNYA telah tertulis takdirnya 50,000 tahun sebelum diciptakannya. Diriwayatkan dalam hadith sahih oleh Abdullah bin Umar, sabda Rasullah SAW, bermaksud : "Allah menetapkan takdir setiap makhluk lima puluh ribu tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi. Al-Arsynya berada di atas air."

Sumber : Kitab At-Tibyan - Ibnu Qayyim Al-Jauziah

[RENUNGAN : Sebagai manusia jangan menyalahkan takdir, kerana takdir berasal dari syurga maka segala yang baik dan buruk dipandangan mata kita sebenarnya adalah gambaran-gambaran syurga untuk kita. Allah SWT Maha Pengasih dan Maha Penyayang, kecuali manusia yang jahil sahaja menyalahkan takdirnya, dan neraka pilihannya.]

RAHSIA UMUR 40, 50 DAN 60 TAHUN



Jika ingin tahu, berita atau utusan kematian pada manusia yang hidup adalah berlansung 24 jam. Setiap musibah dan kecelakaan adalah berita dan utusan kematian bagi yang mengetahui. Maka janganlah mengeluh jika musibah dan kecelakaan menimpa kita. Kerana itu berita gembira kerana Allah SWT amat merindui kita.

Diceritakan oleh beberapa Nabi berkata kepada Malaikat Izrail, bermaksud :
"Tidakkah engkau mempunyai utusan yang engkau utuskan terlebih dahulu sebagai peringatan kepada manusia?"

Izrail menjawab : "Demi Allah, aku memiliki banyak utusan seperti sakit dan penyakit, uban, tua, serta pudar pendengaran dan penglihatan. Apabila orang yang ditimpa perkara-perkara ini tidak mahu mengambil peringatan dan tidak bertaubat, maka tatkala mencabut nyawanya aku berseru : "Bukankah aku telah utuskan utusan demi utusan dan peringatan demi peringatan. Akulah utusan yang tidak ada lagi utusan selepasku dan akulah pemberi peringatan yang tidak ada lagi selepasku pemberi peringatan."

Setiap hari Malaikat Maut akan menyeru : "Hai orang yang telah mencecah usia 40 tahun, ini waktunya untuk kamu membuat pembekalan. Fikiranmu masih cergas dan tubuhmu masih kuat. Hai orang yang telah mencecah usia 50 tahun, telah hampir waktu pengambilan dan penuaian. Hai orang yang mencecah usia 60 tahun, kamu lupa kepada balasan seksa dan kamu lalai menyahut seruanku padahal kamu tidak mempunyai penolong."

Sumber : Kitab Raudhatul Musytaq Wa Al-Tariq Ila Maliki Al-Khallaq - Abu Al-Faroj Al-Jauzi

[RENUNGAN : SESIAPA YANG SEDANG DALAM KESUSAHAN DI LUAR SANA, SENYUM LAH!! ALLAH AMAT MERINDUI KITA. ITULAH KERINDUAN YANG HAKIKI.... 40...50...60...TEPUK DADA, SEMUA DI TANGAN ANDA!!!!]




Jumaat, 24 Julai 2009

'AL-QURAN' - ASAL NAMA DAN ERTINYA


Jika ingin tahu, dari istilah bahasa, 'Quran' membawa maksud 'bacaan'. Erti ini dikemukakan oleh Dr. Subhi Al Salih yang berasal dari perkataan 'qaraa'. Kata "Al-Quran" itu berbentuk masdar dengan erti isim maf'ul iaitu maqru (dibaca).

Penggunaan perkataan dan nama 'Al-Quran' kepada kalam terakhir yang dianugerahkan kepada Rasullullah SAW adalah bermanisfestasikan dari Ayat 17 dan 18 : Surah Al-Qiyaamah. Allah SWT berfirman, bermaksud :
"Sesungguhnya mengumpulkan Al-Quran (di dalam dada mu) dan (menetapkan) bacaannya (pada lidahmu) itu adalah tanggungan Kami. (Kerana itu), jika Kami telah membacakannya, hendaklah kamu ikuti bacaannya."

Ayat ini merupakan asal kepada penggunaan nama Al-Quran sehingga ke hari ini. Dalam erti istilah, Al-Quran membawa maksud , "Kalam Allah SWT yang merupakan mukjizat yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW dan yang ditulis di mushaf dan diriwayatkan dengan mutawatir serta membacanya adalah ibadah".

Sumber : Al-Quran dan Terjemahannya - Khadim al Haramain asy Syarifain

RAHSIA MATA


Jika ingin tahu, mata diumpamakan oleh ulama salaf umpama dua lampu diciptakan oleh Allah SWT sebagai pelita untuk menerangi kehidupan makhluknya sepanjang usianya. Mata diumpamakan cahaya yang dibuat dalam bentuk sangat kecil, supaya makhluknya dapat melihat yang ada di langit, yang ada di bumi dan yang ada di antaranya.

Mata ditutup dengan tujuh lapisan dan tiga cairan bertingkat sebagai pelindungnya. Tempatnya dihiasi dengan dua kelopak bawah dan atas. Di bawah kelopak ditempatkan dua bulu mata yang menjadi pelindung, hiasan dan keindahan. Di atasnya Allah SWT jadikan dua alis rambut untuk melindungi mata dari peluh.

Allah SWT Maha Bijaksana, ciptakan cahaya melihat itu pada kanta mata. Dari kanta itu, Allah SWT mengizinkan makhluknya gambaran langit dan bumi, matahari dan bulan, segala ciptaanNYA yang mengelilingi hidup setiap makhlukNYA.

Allah SWT Maha Bijaksana, menciptakan bahagian hitam dan putih. Yang hitam diberi kekuatan untuk melihat, manakala yang putih sebagai tempatnya dan saling menghiasi. Seandainya mata adalah putih, nescaya cahaya untuk melihatnya berpecah, sukar untuk dilihat. Warna hitam membuat penglihatan menjadi menumpu dan tidak membuat cahaya menyilaukan mata.

Allah SWT Maha Bijaksana, memuat 24 urat saraf untuk menggerakkan mata. Seandainya terkurang satu urat sahaja, mata akan jadi buta. Kelopak mata diciptakan sebagai pembersih, supaya mata sentiasa dapat melihat imej dengan jelas, bersih dan jernih.

Allah SWT Maha Adil, menciptakan mata sebagai penghubung antara apa yang dilihat dengan hati, maka mata adalah ibarat dua cermin bagi hati. Oleh itu, dari mata menimbulkan tiga bentuk firasat dalam diri manusia iaitu firasat mata, firasat telinga dan firasat mata.

Allah SWT Maha Menakjubkan, mata adalah anggota tubuh paling lembut daripada anggota tubuh yang lain tetapi tidak sensitif terhadap sejuk dan panas. Adakah hati kita selembut bentuk mata? Yang tidak akan sensitif dengan sebarang kemewahan dan kerugian, kekayaan dan kemiskinan, kebahagiaan dan kecelakaan? Wallahu a'lam.

Sumber : Kitab At-Tibyan - Ibnu Qayyim Al-Jauziah.

[RENUNGAN : Jika mata ada 24 urat saraf, dan satu hari ada 24 jam. Adakah mata kita berfungsi dengan baik untuk melihat diri kita dalam tempoh 24 jam itu?]

Khamis, 23 Julai 2009

RAHSIA 360 DALAM JASAD



Jika ingin tahu, jasad manusia mempunyai 360 sendi yang terdiri daripada sendi besar dan kecil, tebal dan nipis, panjang dan bulat, lurus dan bengkok. Semua sendi dikukuhkan oleh 360 urat untuk menyambung, memisah, menggengam, membentang, menjulur dan menarik, berkarya dan menulis.

Sumber : Kitab At-Tibyan - Ibnu Qayyim Al-Jauziah

[RENUNGAN : Bumi juga berputar 360 darjah, yang ada siang dan malam. Dengan struktur rahsia 360 sendi dan urat , manusia akan muda dan tua, ada sihat dan sakit, ada senang dan susah, dari hidup kemudian mati.]

JASAD MANUSIA ADA 9 'PINTU'

Jika ingin tahu, Allah SWT menciptakan manusia dengan adanya 9 pintu. Iaitu dua untuk mendengar, dua untuk melihat, satu untuk mencium, dua untuk bercakap, makan, minum dan bernafas; dan dua bentuk mengeluarkan sisa kotoran yang membahayakan manusia jika tidak dibuang.

Sumber : Kitab At-Tibyan - Ibnu Qayyim Al-Jauziah.

[RENUNGAN : Pintu-pintu itulah syaitan akan masuk untuk menyesatkan manusia, adakah pintu-pintu ini telah ditutup rapat atau masih terbuka. Jika terdapat 9 planet yang bergantung kepada matahari untuk melengkapkan pusingan orbitnya. Manusia juga begitu, 9 pintu yang ada, perlu dikoordinasikan oleh akal dan hati. Adakah akal dan hati kita terbuka atau tertutup?]

ASAL-USUL PERKATAAN 'KHURAFAT'

Jika ingin tahu, Aisyah r.a meriwayatkan, sabda Rasulullah SAW maksudnya :
"Pada suatu malam, Rasullah SAW bercerita kepada isteri-isteri beliau. Seorang dari mereka berkata, 'Cerita itu hanya dongeng (khurafah).' . Maka Rasullah SAW bertanya, 'Tahukah kalian apa itu khurafah? Khurafah adalah seorang laki-laki dari suku Udzrah (suku terkenal di Yaman) yang ditawan oleh bangsa jin hingga dia tinggal bersama mereka dalam waktu lama. Kemudian para jin itu mengembalikannya ke dunia manusia sehingga dia menceritakan kepada orang-orang tentang keanehan-keanehan yang ia lihat di dunia jin. Maka orang-orang kemudian berkata, 'Itu hanya cerita Khurafah'."
(Riwayat Tirmidzi dan Ahmad)

Sumber : Syamail Muhammad SAW - Imam al-Tirmizi

RAHSIA UMUR 33

Jika ingin tahu, Imam Ahmad dan Thabrany meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda :
"Para penduduk syurga memasuki syurga dalam keadaan putih, bersih, cerah, berambut lebat, berumur 33, seperti rupa Adam, : setinggi 60 hasta, selebar 7 hasta."

Abu Bakar bin Abi Daud, Rasulullah SAW bersabda :
"Barang siapa dari ahli syurga yang meninggal baik muda mahupun tua, mereka masuk syurga dengan umur 33 tahun, tidak bertambah umur mereka begitu juga dengan ahli neraka."

Wallahu a'lam.

Sumber : Al-Nihayah Fi al-Fitan Wa al-Malahim - Ibnu Khatir

[RENUNGAN : Sesiapa yang sedang berumur 33, umur inilah yang kita akan dibangkitkan]. Wallahu a'lam.

IZRAIL DI SISI KITA


Jika ingin tahu, Malaikat Izrail (Malaikat Maut) sentiasa di atas kita. Al-Hafiz Ibn Nu'aim meriwayatkan daripada Thabit al Bannani ra, sabda Rasulullah SAW:
"Malam dan siang. Tiada satu jam pun yang berlalu ke atas orang yang mempunyai roh, melainkan Malaikat Maut berdiri atasnya. Maka jika dia diperintahkan mengambil nyawanya maka diambilnya, dan jika tidak mendapat perintah maka dia pun pergi. Hal ini berlaku kepada setiap yang mempunyai roh."

Tersebut juga hadith, Malaikat Maut memandang pada muka setiap hamba Allah pada tiap-tiap hari tujuh puluh kali. Maka apabila dia diutuskan kepada seseorang, dan dia melihat orang itu tertawa, maka dia pun berkata : "Hairan sungguh anak Adam ini, aku ini diutuskan kepadanya untuk mengambil rohnya, sedangkan dia masih lagi tertawa."

Wallahu a'lam.

(Sumber : Kasful Ghummah Pada Menyatakan Kelakuan Orang Mati dan Hal Hari Kiamat - Syeikh Daud bin al-Fatani)

NIKMAT CINTA DAN SAHABAT


Jika ingin tahu, Imam Ahmad meriwayatkan, sabda Rasullah SAW,
"Sesungguhnya orang-orang yang saling mencintai kerana Allah, tempat-tempat mereka akan nampak bagaikan bintang di langit, timur mahupun barat. Maka ditanyakan siapakah mereka itu? Lalu dijawab, merekalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah."

Jika ingin tahu, kitab As Shahih dari hadith Abu Hurairah meriwayatkan,
"Tujuh orang yang dilindungi Allah dalam lindungannya. Pada suatu hari yang tidak ada lindungan selain lindungan Allah dan dalam sebuah riwayat "kecuali lindungan ArsyNya", yakni imam yang adil, pemuda yang hidupnya selalu dalam ketaatan kepada Allah, dan seorang lelaki yang hatinya selalu terpaut (ingat) ke masjid, ketika dia keluar daripadanya sampai dia kembali ke masjid itu, dan lelaki yang diajak oleh perempuan yang terhormat lagi cantik, malah dia berkata, saya takut kepada Allah, dan dua lelaki yang saling cinta hanya kerana Allah, berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah, dan lelaki yang mensedekahkan hartanya dengan sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa-apa yang telah diinfakkan oleh tangan kanannya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Sumber : Al-Nihayah al-Fitan Wa al-Malahim - Ibnu Kathir

[RENUNGAN : Mari merenung jauh, adakah kita ini sudah ada ciri-ciri seorang sahabat yang baik untuk melindungi sahabat kita dan diri kita di Padang Masyar? Kerana seorang kawan itu belum pasti ia menepati erti sahabat dalam diri kita. Kita juga tidak dan belum pasti adalah sahabat padanya. Jom renungkan!!!]

FIZIKAL RASULULLAH SAW

Jika ingin tahu, dari Anas ibnu Malik ra meriwayatkan;
"Postur tubuh Rasulullah SAW tidak terlalu tinggi dan tidak pendek. Kulit beliau tidak terlalu putih dan tidak gelap. Rambut beliau tidak terlalu keriting dan tidak lurus tergerai. Allah SWT, mengutus beliau, sebagai rasul ketika beliau memasuki usia yang keempat puluh. Beliau tinggal di Mekah selama sepuluh tahun, dan di Madinah selama sepuluh tahun. Beliau wafat ketika dalam usianya yang keenam puluh, sementara uban di rambut dan janggut beliau tidak mencapai dua puluh helai."
(Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Malik dan Ahmad)

Jika ingin tahu, dari Al-Bara' ibn Azib ra meriwayatkan;
"Postur tubuh Rasulullah SAW sedang (tidak tinggi dan tidak pendek). Bahagian badan di antara bahunya lebar. Rambut beliau lebat, hujungnya menyentuh daun telinga bahagian bawah. Beliau memiliki baju berwarna merah. Saya belum pernah melihat seseorang yang lebih tampan daripada beliau."
(Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad).

Sumber : Syamil Muhammad SAW - Imam al-Tirmizi.

DISEBALIK RAHSIA LAFAZ 'ALLAH'


Jika ingin tahu, 'Allah' nama Tuhan yang paling dikenali oleh setiap umat. Ia disebut sebanyak 2,698 kali di dalam al-Quran. Allah sendiri yang memberi nama ini, "Sesungguhnya aku adalah Allah, tiada Tuhan selain aku, maka sembahlah aku." (Surah Taha : 14).

Jika ingin tahu, ada beberapa pandangan tentang asal lafaz 'Allah'. Ada yang berpendapat ia berasal dari perkataan ilahah atau uluhah atau uluhiyyah yang membawa pengertian ibadat dan dimaksudkan sebagai ma'bud iaitu yang disembah.

Ada juga berpendapat berasal dari perkataan alahah yang bermaksud tahaiyara iaitu bingung. Ini kerana Allah menjadikan akal terbatas, bingung dan kekaguman apabila memikirkan keadaanNYA dan setiap ciptaanNYA.

Ada juga berpendapat berasal dari perkatan aliha-ya'lahu bermaksud tenang. Ini kerana hati akan menjadi tenang apabila mengingati Allah dan seterusnya menuju kepada permohonan kepadaNYA.

Jika ingin tahu, keistimewaan kalimah dan lafaz 'Allah', dapat dilihat pada setiap hurufnya apabila dihapuskan satu persatu.

Apabila huruf pertama alif dihapuskan daripada nama Allah, sebutannya menjadi lillah membawa maksud 'kerana, bagi atau pun milik Allah'.

Jika huruf pertama daripada perkataan lillah dihapuskan, sebutannya menjadi lahu membawa maksud 'baginya'.

Jika huruf pertama daripada perkataan lahu dihapuskan, sebutannya menjadi Hu, membawa maksud 'dia iaitu Allah'.

Apabila sebutan Hu dipendekkan lagi dapat didengar adalah bunyi 'ah'. Kita sebagai manusia pasti pernah tersebut 'ah' ketika jatuh atau pun marah. Zahirnya dipandang sebagai keluhan tetapi hakikatnya ia adalah suatu seruan permohonan kepada Allah.

Kesimpulannya, sudah ada fitrah dalam diri setiap manusia yang membenarkan kewujudan Allah SWT.

Sumber : Kecerdasan berasaskan Asma Ul Husna - Sulaiman Alkumayi





NAMA YANG TERAGUNG


Jika ingin tahu, para ulama menyatakan terdapat 3,000 nama lain bagi menyebut Allah. Menurut para ulama' semua 3,000 nama itu dikenal oleh malaikat, 1,000 oleh para Rasul dan Nabi. 300 terkandung di dalam Taurat, 300 terkandung di dalam Zabur, 300 terkandung di dalam Injil dan 2,698 terkandung di dalam al-Quran dan 99 yang perlu difahami ertinya oleh umat Islam.

Kesemua Nama adalah Mulia, akan tetapi Allah SWT telah melindungi satu Nama yang membawa maksud "Nama Yang Teragung". "Nama Yang Teragung" diterangkan dalam al-Quran dan dijelaskan dalam al-Hadith yang bermaksud :

Daripada Aishah RA meriwayatkan, bermaksud : "Ya Rabb (Ya Tuhanku) ialah Nama Yang Teragung."

Daripada Abu Umamah mengatakan nama yang teragung terkandung di dalam Surah al-Baqarah : 163, Surah al-Imran : 1 dan 2, dan Surah Taha : 111.

Jika ingin tahu, sesiapa yang telah membaca al-Quran keseluruhannnya, sebenarnya telah membaca dan menyebut "Nama Yang Teragung" walaupun tanpa memahaminya.

Jika ingin tahu, seandainya seseorang itu hendak dinamakan salah satu daripada 99 Asmaul Husna, hendaklah didahului dengan 'Abdul', ertinya 'hamba daripada.'

Jika ingin tahu, yang paling penting kita sebagai manusia adalah memahami 99 Asmaul Husna bukan nya dihafal semata-mata atau dizikirkan tanpa difahami atau mereka yang mempunyai nama dari Asmaul Husna lindungi nama kita sebaik maksudnya.

Sumber : 99 Nama-nama Allah, Basheer Ahamed (2005).

Rabu, 22 Julai 2009

ISRAFIL 'PENIUP SANGKAKALA'


Jika ingin tahu, menurut Umar bin Abdul Aziz dan riwayat Ibnu Asakir, Israfil terpilih sebagai peniup sangkakala kerana, seketika para malaikat diperintah bersujud kepada Adam as, Israfil merupakan malaikat pertama sujud kepada Adam as. Atas kepatuhannya yang tanpa menunggu itu, maka Allah SWT menulis al-Quran di dahinya dan dianugerahkan sebagai sang peniup sangkakala ketika bumi akan dikiamatkan dan dibangkitkan semula.

Sumber : Kitab Qishah al-Anbiya - Ibnu Kathir

BILANGAN RASUL DAN NABI


Jika ingin tahu, menurut Ibnu Hibban mengatakan riwayat yang diterima bersanad pada Abu Zar bahawa,

Dia (Abu Zar) bertanya, "Wahai Rasulullah! Berapakah jumlah para nabi?"
Baginda menjawab, "Seramai 124,000."

Dia bertanya lagi, "Berapakah jumlah rasul-rasul?"
Baginda menjawab, "Seramai 313. Mereka terdiri dari orang biasa."

Dia melanjutkan, "Wahai Rasulullah! Siapakah yang muncul pertama sekali dari mereka?"
Baginda menjawab, "Adam".

Dia melanjutkan, "Wahai Rasulullah! Apakah beliau sebagai nabi dan rasul?"
Baginda menjawab, "Ya. Allah menciptakannya dengan tanganNya sendiri dan meniupkan ke dalam dirinya dari rohNYa, kemudian disempurnakanNya."

Sumber : Kitab Qishash al-Anbiya - Ibnu Kathir

Selasa, 21 Julai 2009

SYUKUR DAN SALAM


Jika ingin tahu, perkataan Alhamdulillah merupakan perkataan pertama yang diajar oleh Allah SWT secara majazi, dan merupakan ibadat pertama manusia iaitu Nabi Adam as, seketika jasadnya ditiupkan roh.


Sabda Rasulullah SAW, bermaksud :
"Apabila roh ditiupkan Allah ke dalam diri Adam, maka sewaktu roh memasuki kepalanya, dia bersin. Dia mengucapkan 'Alhamdullilahi rabbil 'alamin' (Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam)." Allah berfirman kepadanya : "Yarhamukallah (semoga Allah melimpahkan rahmat kepadamu)."

Setelah tamatnya proses peniupan roh ke jasad Nabi Adam as.

Allah swt berfirman lagi, bermaksud : "Wahai Adam! Pergilah kepada sekolompok makhluk itu. Berkatalah kepada mereka, lalu perhatikan apa reaksi mereka."

Adam mendatangi mereka seraya mengucapkan "Assalamu' alaikum". Mereka menjawab : "Wa' alaikumussalam wa rahmatullah."

Allah swt berfirman, bermaksud : "Wahai Adam! Itulah ucapan selamat untukmu dan anak cucumu."

Sumber : Kitab Qishash al-Anbiya' - Ibnu Kathir

USAHA PENCARIAN SEKARANG INI!!!

USAHA PENCARIAN SEKARANG INI!!!
_'hit' sahaja baner di atas, untuk ekplorasi tentang 1001 RAHSIA TIDUR_