Jika ingin tahu, kalimah Ar-Rahman dan Ar-Rahim, membawa maksud Yang Maha Pengasih atau Maha Penyayang. Kedua-dua kalimah itu berasal daripada perkataan ar-rahmah. Menurut ahli bahasa Ibnu Faris, semua kata yang mengandungi huruf 'ra', 'ha' dan 'mim' membawa maksud 'lemah-lembut, kasih sayang dan kehalusan.' Cuba perhatikan nama anda dalam huruf jawi, adakah mengandungi huruf-huruf ini. Jika ada satu huruf sahaja, pasti anda seorang yang penyayang dan lemah-lembut. Cuba renungkan nama anda!!!.
Menurut Mahmud Sami, menyatakan Ar-Rahman membawa erti 'Zat yang menutup (merahsiakan dosa-dosa hambanya) di dunia ini', sedangkan Ar-Rahim membawa maksud 'Zat yang mengampuni dosa-dosa hambanya di akhirat'.
Menurut Abdullah bin Mubarak, Ar-Rahman membawa erti 'Allah memberi dia apabila dia diminta.' Manakala Ar-Rahim membawa erti 'Allah marah apabila hamba-hambanya tidak meminta.' Menurut Al-Suda, 'Ar- Rahman membawa erti melenyapkan kesulitan dan Ar-Rahim itu mengampuni dosa.
Jika kita renungkan, zat Ar-Rahman dan Ar-Rahim dari segi ertinya, adakah kita mampu untuk menjadi pelindung kepada keaiban orang lain? Mampukah kita menjadi seorang memaafkan kealpaan orang lain? Sedangkan Allah SWT amat melindungi keaiban manusia dan sentiasa memaafkan manusia. Melainkan jika manusia itu tidak mahu aibnya dilindungi, maka Allah SWT berhak untuk tidak melindungi keaibannya dikalangan manusia lain. Sebenarnya keaiban diri kita adalah tanggungjawab kita dan keaiban manusia lain juga tanggungjawab kita.
Zat Ar-Rahman dan Ar-Rahim tidak akan habis dan tidak pernah terbatas dari Allah SWT. Dalam memberikan sesuatu entiti daripada 'tiada kepada ada', iaitu 'keadaan tidak wujud' kepada 'keadaan wujud' cukup untuk mengukuhkan erti Ar-Rahman dan Ar-Rahim.
Jika ingin tahu, Ar-Rahman dan Ar-Rahim sentiasa ada dalam diri kita tidak pernah kurang sesaat pun. Nafas terus diberi, darah terus mengalir, tenaga terus bergerak tanpa henti sesaatpun, walaupun kita tidur sehingga kita dibenarkan untuk 'tidur sementara'. Namun zat Ar-Rahman dan Ar-Rahim tidak juga henti ketika kita 'tidur sementara' sementara menunggu kita 'dikejutkan' semula.
Sebagai manusia, setiap di mana kita berada dihadapan mata atau pun dihijabkan dari mata kita, dari timur ke barat, zat ini tiada hentinya melainkan manusia itu sendiri yang memilih untuk syak wasangka dan fitnah sesama manusia, sudah cukup ia menghampiri untuk menjadi pendusta kepada Allah SWT dan agamanya.
Rasullah SAW bersabda, maksudnya, "Orang-orang yang bersifat kasih, mereka dikasihi oleh Tuhan Yang Maha Pengasih. Hendaklah kamu semua mengasihi makhluk yang ada di bumi, dengan itu makhluk di langit pasti mengasihi kamu."
Jika ingin tahu zat Ar-Rahman dan Ar-Rahim inilah yang membawa manifestasi silaturrahim sesama manusia. Dalam solat lima waktu juga terdapat zat ini yang ditertibkan dengan 'salam' , iaitu kita sudahi solat dengan menoleh ke kanan dan kiri dengan menyatakan lafaz bermaksud 'salam sejahtera dan rahmat Allah kepada kamu semua). Umpama diri kita adalah hamba perantara di antara Allah SWT dengan makhluk lain untuk memberikan salam sejahtera dan rahmat kepada segala makhluk di kanan dan di kiri kita.
Setelah kita selesai mengabdikan segala tertib solat semata-mata untuk Allah SWT, Allah SWT menutup 'pertemuan' itu dengan mensyariatkan kita menyebarkan kasih sayangnya kepada makhluk yang lain. Tertib itu sudah cukup untuk mengukuhkan kalimah manusia itu adalah 'khalifah' dan makna 'silaturrahim'.
Tetapi kita dimana? Adakah kita memberi kepada manusia untuk diberi ganjaran yang setimpal dengan apa yang kita beri? Adakah kita memberi 'tersekat-sekat'? Kemudian ketika kita meminta daripada manusia lain, kemudian kita diberi, adakah kita akan mencela dan mengaibkan pemberian itu?
Jika kita memilih untuk mencantikkan diri kita supaya sentiasa sihat dan dihormati, pada yang sama sebarkanlah kasih sayang kepada semua, kerana itu mengukuhkan makna kecantikan itu. Lakukanlah sebanyak mana mengikut kemampuan diri kita. Hanya diri yang menentukan segalanya.
Rujukan : 99 Kecerdasan berasaskan Asmaul Husna - Sulaiman AlKumayi
0 comments:
Catat Ulasan